• Wartawan Nabalu News

4,770 kes positif Covid-19 di Sabah, hari ini



21 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini di Sabah sebanyak 4,770 kes, menjadikan jumlah kumulatif 313,246 kes dan lima kes kematian dilaporkan iaitu dua kes di Kota Kinabalu manakala masing-masing satu kes di Kota Belud, Sandakan dan Tawau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes harian yang mencatat penurunan marginal sejak tiga hari lalu tidak dilihat sebagai satu trend yang akan berterusan kerana jumlah jangkitan kes sporadik yang kekal tinggi, hari ini 63.56 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.


“Daerah-daerah yang mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi juga mencatatkan peratusan tinggi kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik.


“Peratusan kes jangkitan sporadik di Kota Kinabalu yang mencatat 1,198 kes baharu ialah 68.78%, Penampang 596 kes (68.28%), Papar 433 kes (72.5%), Tuaran 412 kes (48.78%), Tawau 372 kes (78.76%), Putatan 298 kes (78.52%) dan Kota Belud 192 (54.68%).


“Peratusan kes jangkitan sporadik yang tinggi membantu dan memudahkan penularan virus dalam komuniti dengan lebih cepat kepada lebih ramai orang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kota Kinabalu merekodkan angka tertinggi jangkitan baharu dengan 1,198 kes.


“Sebanyak 12 daerah lain mencatatkan kes baharu tiga angka iaitu Penampang 596 kes, Papar 433 kes, Tuaran 412 kes, Tawau 372 kes, Putatan 298 kes, Kota Belud 192 kes, Keningau 143 kes, Beaufort 127 kes, Kota Marudu 121 kes, Sandakan 118 kes, Tambunan 105 kes dan Lahad Datu 103 kes.


“Tambunan pula mencatatkan pertambahan mendadak daripada 19 kes kelmarin kepada 105 kes (+96) hari ini,” katanya.


Beliau berkata, sejumlah 4,755 atau 99.69% daripada 4,770 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lapan kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.


“Antara pesakit-pesakit baharu ialah 234 kanak-kanak bawah umur 5 tahun (62 orang bayi bawah 1 tahun) yang belum layak divaksin dan 322 kanak-kanak yang berumur antara 5 - 11 tahun yang sudah layak divaksin tetapi belum memperolehinya,” katanya.