402 KILOGRAM SAMPAH DIKUTIP HASIL KERJASAMA UMS, NRES DAN KEDUTAAN PERANCIS
- nabalunews
- Jun 20, 2025
- 2 min read

20 Jun 2025
KOTA KINABALU: Sebanyak 402 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi program pembersihan pantai anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kedutaan Perancis di Malaysia.
Program yang berlangsung di Pantai Awam Teluk Likas itu turit disertai lapan sekolah menengah dari seluruh Sabah dan Labuan.
Program berkenaan turut berjaya menghimpunkan lebih 150 sukarelawan terdiri daripada pelajar, kakitangan UMS, pegawai NRES, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi serta wakil diplomatik Kedutaan Perancis.
Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Elopura (Sandakan), SMK Tandek (Kota Marudu), SMK Sanzac (Kota Kinabalu), SM St. Michael (Penampang), SM Sains Sabah, SMK Pinawantai (Kudat), SMK Labuan dan SMK Tebobon.
Wakil Kedutaan Perancis, Dominique Husken-Ulbrich berkata, program itu selari dengan usaha global memelihara alam sekitar.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen terhadap Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Lestari. Ia bukti bahawa kerjasama pendidikan dan diplomatik mampu membawa perubahan,” katanya.
Bagi Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) NRES, Datuk Nor Yahati Awang pula menyifatkan program itu sebagai langkah penting ke arah pemuliharaan pantai.
"Pantai kita adalah khazanah negara. Melalui kerjasama semua pihak, kita dapat mendidik masyarakat tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program Sains Marin UMS, Dr. Madihah Jaffar Sidek berkata, pembersihan pantai itu merupakan sebahagian daripada kempen pendidikan marin dalam kalangan belia.
"Kami mahu pelajar di Sabah membina hubungan yang lebih mendalam dengan alam sekitar serta memainkan peranan sebagai penjaga ekosistem laut,” tegasnya.
Program itu adalah antara pengisian utama sambutan Ocean Celebration anjuran BMRI UMS bersempena Hari Laut Sedunia, Hari Segitiga Terumbu Karang dan Hari Penyu Laut Sedunia.















Comments