• Wartawan Nabalu News

41 KES POSITIF BAHARU COVID DI SABAH HARI INI



30 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 41 kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,698 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 41 kes positif Covid-19, sebanyak 14 kes (34.1%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh kes (17.1%) saringan bergejala, 17 kes (41.5%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga kes (7.3%) dari lain-lain kategori.



"Tawau mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 23 kes baharu, ia disumbangkan oleh dua kluster baharu di daerah itu.


"Daerah-daerah lain seperti Lahad Datu dan Kunak masing-masing empat kes, Kota Belud dan Papar masing-masing tiga kes, Kota Kinabalu, Kalabakan, Tenom dan Kota Marudu masing-masing satu kes.


"Sebanyak 18 daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Keningau, Nabawan, Sandakan, Tuaran, Penampang, Putatan, Kudat, Kinabatangan, Tambunan, Beaufort, Semporna, Sipitang, Beluran, Telupid, Ranau, Pitas, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.



Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 82 menjadikan jumlah kumulatif 53,891 orang.


Katanya, seramai 390 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 167 orang di hospital dan 223 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.


"Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 26 orang dan 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.