• Wartawan Nabalu News

431 KES POSITIF BAHARU COVID-19 DAN DUA KEMATIAN DI SABAH


24 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 431 kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 46,791 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kematian turut direkodkan masing-masing satu kes di Kalabakan dan Beluran.


“Daripada 431 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 308 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (47 kes), saringan kluster baharu dan sedia ada (53 kes).


"Saringan pelajar masuk asrama (tiga kes) dan 20 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 68 kes, diikuti Lahad Datu (46 kes), Keningau (34 kes), Tawau (33 kes), Penampang (32 kes), Putatan (28 kes), Beaufort (25 kes), Papar (24 kes), Sandakan (22 kes), Kota Belud (18 kes), Kudat (14 kes), Kota Marudu (13 kes), Tuaran (11 kes), Kinabatangan (10 kes).


"Daerah Telupid sebanyak sembilan kes, Sipitang (lapan kes), Ranau (tujuh kes), Semporna, Pitas dan Kalabakan masing-masing lima kes, Tambunan dan Kunak masing-masing empat kes, Nabawan (tiga kes), Kuala Penyu (dua kes), Tongod (satu kes)," katanya.


Katanya lagi, seramai 393 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 42,406 orang.


“Sejumlah 2,794 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 847 orang di hospital, 1,928 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 19 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 87 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.