• Wartawan Nabalu News

44 MANGSA BANJIR DI KUDAT DIPINDAHKAN


Foto: fb Sabah Info

11 JAN 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUDAT: Seramai 44 mangsa banjir dari beberapa buah kampung di sini yang terjejas banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SK Tun Mustapha, setakat pagi ini (11 Jan).


Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kudat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), hujan lebat berterusan sejak jam 9 malam semalam (10 Jan) sehingga pagi ini (11 Jan) menyebabkan beberapa buah kampung dinaiki air.


“Kenaikan paras air di kawasan Kudat disebabkan hujan lebat berterusan sejak jam 9 malam semalam. Bermula jam 04.20 pagi pihak Bomba telah respon dan membuat pemantauan dan didapat beberapa buah kampung dinaiki air,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Foto: FB Sabah Info

Menurut kenyataan itu, lima kampung yang dipantau ialah Kampung Landung Ayang, Kampung Sri Aman, Kampung Air, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Dampirit.


Tiga jalan turut dinaiki air iaitu Jalan Tamalang, Jalan Airport dan Jalan Pusat Bandar Kudat dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil.


“Pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa disebabkan keadaan cuaca tidak menentu. Semua jabatan dan agensi kerajaan di Kudat termasuk pihak Bomba, PDRM dan APM terlibat dalam pemantauan banjir di daerah ini,” menurut kenyataan itu.


Foto FB Sabah Info