- Farah Salim
450 kes baharu Covid direkod di Sabah hari ini, terendah sejak 16 Julai

25 Okt 2021
Oleh Farah Salim
KOTA KINABALU: Sabah meneruskan trend penurunan dengan 450 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini, angka terendah sejak 16 Julai 2021.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, penambahan baharu ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 214,514 kes.
“Jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes ialah 16 daerah, manakala lapan 8 daerah mencatatkan peningkatan kes dan tiga 3 daerah kekal sebagaimana catatan semalam. Hanya dua daerah melepasi catatan 50 kes dan 19 daerah merekodkan kes di bawah paras 20 kes.
“Daerah Kota Belud dan Ranau kekal menyumbang angka tertinggi catatan baharu jangkitan kes, masing-masing dengan 64 kes dan 54 kes, di kala daerah lain mula menunjukkan trend penurunan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Daripada 450 kes hari ini, Masidi berkata 266 kes adalah merupakan kes-kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala selebihnya adalah kes-kes yang didaftar beberapa hari selepas keputusan saringan tersebut diperolehi.
“Sebanyak 96 peratus daripada kes hari ini adalah pesakit-pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2 manakala bagi Kategori 3 seramai satu orang, Kategori 4 seramai tiga orang dan Kategori 5 seramai tiga orang. Sebanyak 11 kes lagi masih dalam penilaian.
“Sementara itu, bilangan pesakit sembuh ialah 568 termasuk yang discaj dari hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), menjadikan jumlah kumulatif 203,833 orang.
“Manakala 1,876 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 742 orang di hospital, 1,105 orang di PKRC Awam, 28 orang di Pusat Tahanan Sementara / Penjara manakala satu orang di fasiliti swasta,” jelasnya.
Menurut menteri itu, bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 85 orang merangkumi 80 di ICU serta lima kubikel akut dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan .
“Manakala, bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 125,” tambahnya.
Bagi kes kematian pula, sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di daerah Kota Belud, dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di Kota Marudu serta Kudat.
“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.”