• nabalunews

458 KES SEMBUH DI SABAH PADA HARI INI



29 OKTOBER 2020

Oleh Nabalu News

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan seramai 458 pesakit Covid-19 sembuh pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif di seluruh Sabah sebanyak 7,683 orang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, seramai 3,848 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 730 orang di hospital dan 3,118 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah PKRC.

“Bilangan pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 72 orang manakala 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Masidi berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 352 kes.

“Tiada kematian dicatatkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 14,053 kes,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu pada hari ini, Kota Kinabalu masih mencatatkan tertinggi iaitu 96 kes, Tawau (71), Sandakan (46), Tuaran (28), Lahad Datu (22), Penampang (19), Keningau dan Semporna masing-masing 17 kes, Papar (15), Kota Belud (10), Putatan (tiga), Beaufort dan Kinabatangan masing-masing dua kes, Tambunan, Telupid, Pitas dan Tongod masing-masing satu kes.

Katanya lagi, dua kluster baharu dikenalpasti di Sabah pada hari ini iaitu Kluster Sakti di Lahad Datu sebanyak tujuh kes. Ini merupakan kluster kilang sawit.

Kluster Tuguson di daerah Kota Belud sebanyak empat kes yang berpunca daripada Majlis Serah Tugas,” katanya.

Mengenai penambahan kapasiti katil pada hari ini, Masidi berkata, jumlah penambahan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah adalah sebanyak 622 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 7,859.

“Penambahan ini merangkumi Penjara Tawau (500 katil), PKRC Pusat Kebudayaan Penampang (93 Katil) dan Rumah Rehat Kudat (29 katil),” katanya.