• Wartawan Nabalu News

488 kanak-kanak termasuk 42 bayi dijangkiti Covid hari ini, di Sabah



26 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 488 kanak-kanak bermur 11 tahun ke bawah termasuk bayi 1 tahun ke bawah antara 3,735 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini, di Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 1,883 kes adalah individu lengkap dua dos vaksin dan 1,070 kes pula adalah melibatkan individu lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak.


Beliau berkata, jumlah kes harian bagi negeri Sabah turun 521 berbanding semalam menjadikan jumlah jangkitan baharu pada hari ini sebanyak 3,735 kes.


“Bagaimanapun peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 66.45 peratus daripada jumlah kes keseluruhan. ini petanda jumlah kes baharu boleh naik secara mendadak.


“Jangkitan sporadik merupakan jangkitan dalam komuniti yang boleh merebak dengan cepat dan dalam lingkungan lokaliti yang luas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, hampir keseluruhan iaitu 99.22 peratus atau 3,706 daripada jumlah kes keseluruhan adalah dalam Kategori 1 dan 2, 10 kes dalam Kategori 3, Kategori 4 (15 kes) dan empat kes dalam Kategori 5.


Katanya lagi, jumlah kes baharu di beberapa daerah masih dipengaruhi oleh keputusan saringan kes-kes tertunggak yang baru dilaporkan.


“Kota Kinabalu mencatatkan jumlah keputusan tertunggak yang paling tinggi di Sabah dan mengakibatkan jumlah kes harian terus berada pada kadar empat angka sejak beberapa hari.


“Daripada 1,039 kes bagi Kota Kinabalu hari ini, cuma 19 kes yang berlaku sepanjang tempoh 24 jam lalu berdaftar dalam statistik kes harian hari ini.


“Sebanyak 296 kes adalah kes tertunggak antara 2 hingga 3 hari dan 724 kes adalah kes-kes keputusan tertunggak 4 hari atau lebih. Ini termasuk 89 kes yang tertunggak melebihi 12 hari,” katanya.