490 usahawan pasar tamu Sabah, Sarawak terima manfaat skim SPUT
top of page
  • Wartawan Nabalu News

490 usahawan pasar tamu Sabah, Sarawak terima manfaat skim SPUT


11 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Seramai 490 usahawan ‘pasar tamu’ Sabah dan Sarawak menerima manfaat daripada Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.25 juta setakat 30 Sept lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata menerusi skim di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu, sejumlah RM5 juta untuk usahawan pasar tamu diperuntukkan bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.


“Bagi usahawan muda pula, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 75 orang usahawan di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Ali anak Biju (PN-Saratok).


Ali mahu tahu langkah terkini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memberdayakan usahawan terutama daripada kalangan B40 serta usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan Skim Geran Usahawan Orang Asal.

Sementara itu, bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus di bawah Program Pengukuhan Mikro MADANI oleh SME Corp, sebanyak 73 permohonan telah diterima sejak pelancaran program itu pada 1 Okt lepas.

Melalui program BEEP Plus, Ewon berkata geran sebanyak RM10 juta telah disediakan khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak yang menawarkan bantuan secara Geran Padanan hingga 70 peratus pembiayaan atau maksimum RM250,000 bagi setiap kelulusan.


Seramai 1,852 usahawan belia Sabah dan Sarawak pula telah menerima geran sebanyak RM25.54 juta sejak 2014 di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp yang menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat.

bottom of page