5.8 juta pengundi baru bakal mengundi pada PRU akan datang
2 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan maklumat sejumlah 5.8 juta bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas.
Setiausaha SPR Malaysia Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini bagi membolehkan mereka menyemak dan mengesahkan rekod dengan SPR.
Beliau berkata, Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) akan diadakan pada 1 hingga 31 Oktober ini.
“Bagi tujuan ini SPR akan mempamerkan maklumat bagi sejumlah 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod mereka dengan SPR.
“Urusan SPPA boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu membuat semakan menggunakan MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my atau hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ikmalrudin berkata, dalam tempoh SPPA ini, mana-mana warganegara Malaysia bermur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat mereka dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
“Justeru SPR menyeru 5.8 juta bakal pemilih bermur 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR.
“Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, mereka dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selewat-lewatnya 31 Oktober ini,” katanya.
Pertanyaan mengenai SPPA, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my.
Comentarios