• Wartawan Nabalu News

514 KES BAHARU COVID-19 DI SABAH, DUA KEMATIAN



15 Jan 2021

Oleh Anne Sham


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini, sebanyak 514 kes, meningkat sebanyak 125 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif 42,802 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan kes itu disumbangkan oleh dua kluster baharu di Kunak dan Lahad Datu.


“Kes positif Covid-19 pada hari ini meningkat kepada 514 disebabkan saringan yang dijalankan secara besar-besaran oleh pengurusan ladang melalui Perkeso di Ladang Baturong Kunak dan Ladang Matamba, Lahad Datu.


“Bagi kluster Ladang Baturong, daripada 212 saringan yang dijalankan, 10 orang didapati positif Covid-19. Manakala, 44 kes lagi direkodkan daripada saringan kontak rapat.


“Bagi kluster Ladang Matamba Lahad Datu, sebanyak 20 kes positif telah dikesan. Aktiviti siasatan serta pengesanan kontak masih lagi giat dijalankan pihak pengurusan ladang,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daerah yang mencatatkan kes baharu tertinggi di seluruh negeri ialah Lahad Datu dengan 81 kes, diikuti Tawau sebanyak 74 kes, Kunak (63 kes), Kota Kinabalu (57 kes), Penampang (45 kes), Kinabatangan (35 kes), Keningau (26 kes), Sandakan (15 kes), Pitas (14 kes), Kota Belud dan Putatan masing-masing 12 kes, Kalabakan dan Kota Marudu masing-masing 11 kes.


“Daerah Tuaran sebanyak 10 kes, Papar (Sembilan kes), Beaufort (tujuh kes), Tenom, Ranau dan Nabawan masing-masing lima kes, Tambunan dan Sipitang masing-masing tiga kes, Semporna (dua kes) dan Telupid (satu kes).


“Daerah yang tidak mencatatkan kes baharu hari ini ialah Kuala Penyu, Beluran dan Tongod,” katanya.


Masidi berkata, dua kes kematian direkodkan hari ini masing-masing di Putatan dan Kota Kinabalu.


“Pada hari ini, seramai 370 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 38,610 orang. Sejumlah 2,868 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 786 orang di hospital dan 2,082 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 75 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Masidi berkata, daripada 514 kes positif Covid-19 yang direkodkan, sebanyak 314 kes (61%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 80 kes (15.6%), saringan kluster-kluster baharu dan sedia ada 62 kes (12.1%), saringan komuniti lima (5) kes (1%) dan 53 kes (10.3%) dari lain-lain kategori.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com