• Wartawan Nabalu News

532 KES BAHARU DI SABAH MENINGKAT DUA KALI GANDA



11 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah sebanyak 532 kes meningkat dua kali ganda berbanding kes yang dilaporkan kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes yang tinggi itu berpunca dari saringan di dua kluster iaitu Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal dan Kluster Dbajaru Lahad Datu.


“Kluster Rumah Merah merekodkan sebanyak 150 kes dan Kluster Dbajaru mencatatkan 133 kes.


“Daripada 532 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 326 kes (61.3 peratus) adalah berpunca dari saringan kluster-kluster sedia ada, 127 kes (23.9 peratus) dari saringan kontak rapat di 13 daerah, saringan bergejala 43 kes, saringan komuniti 11 kes dan 25 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, kes-kes jangkitan mengikut daerah, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 195 kes, diikuti Lahad Datu sebanyak 166 kes, Sandakan (49 kes), Penampang (45 kes), Tuaran (22 kes), Tawau (16 kes), Putatan (10 kes), Kota Belud (Sembilan kes), Keningau (enam kes), Kalabakan (lima kes), Papar (empat kes),Lidat (tiga kes), Tenom dan Ranau masing-masing satu kes.


“Daerah-daerah lain tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini. Sipitang dan Nabawan kekal zon hijau Covid-19,” katanya.


Beliau bekata, hari ini lima kes kematian dicatatkan di Sabah masing-masing dua kes di Papar dan satu kes masing-masing di Putatan, Tawau dan Sandakan.


“Pada hari ini, seramai 233 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 28,923 orang.


“Sejumlah 1,805 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 629 orang di hospital dan 1,176 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 63 orang dan 20 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com