• nabalunews

560 ORANG TERIMA SUNTIKAN VAKSIN HARI KEDUA DI KADAMAIAN SQUARE



14 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 560 orang mendapat suntikan vaksin Covid-19 pada hari kedua program pemberian vaksin bagi DUN Kadamaian di Kadamaian Square, hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan sasaran awal adalah sebanyak 472 orang, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui pejabat kesihatan daerah berjaya menambah jumlah ini kepada 560 orang.


Ewon menyatakan demikian selepas diberikan taklimat semasa meninjau perjalanan program pemberian vaksin tersebut.



“Mudah-mudahan lebih banyak bekalan vaksin dapat diberikan kepada Sabah supaya lebih banyak rakyat mendapat manfaat dan lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok,” katanya.


Sempena tinjauan hari ini, Ewon turut menyumbangkan pek makanan kepada penerima-penerima vaksin yang hadir.



Kesemua penerima vaksin di Kadamaian Square kelmarin dan hari ini dijadualkan akan menerima suntikan dos kedua pada awal bulan Ogos depan.


Turut sama turun meninjau ialah Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah dan Adun Pintasan, Fairuz Rendan.