- Wartawan Nabalu News
58 PELAJAR SELURUH SABAH DISAHKAN POSITIF COVID-19

25 Jan 2021
Oleh Anne Sham
KOTA KINABALU: Seramai 58 pelajar di negeri ini disahkan positif Covid-19 melalui saringan ke atas pelajar SPM/ STPM masuk asrama, setakat kelmarin (24 Jan).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kesemua kontak rapat pelajar berkenaan telah dikenalpasti dan diasingkan di pusat kuarantin daerah masing-masing.
“Setakat kelmarin, daerah-daerah yang mendaftarkan kes Covid-19 melalui saringan bersasar ke atas para pelajar sebelum memulakan sesi persekolahan ialah Sandakan mencatatkan 10 kes, diikuti Lahad Datu dan Semporna (tujuh kes), Tawau (enam kes), Kalabakan, Kota Marudu dan Kudat masing-masing empat kes.
“Kinabatangan dan Ranau masing-masing tiga kes, Telupid dan Tongod masing-masing dua kes, Beaufort, Keningau, Kota Belud dan Kunak masing-masing satu kes,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, pelajar yang menjalani saringan sebelum sesi persekolahan dibuka, jika didapati positif, mereka tidak dibenarkan masuk asrama dan tidak dibenarkan hadir sesi persekolahan.
“Mereka akan diasingkan dan dirawat di hospital ataupun dimasukkan ke PKRC.
“Setelah selesai tempoh perawatan, dan melalui penilaian doktor yang merawat, mereka akan dibenarkan menjalani sesi persekolahan seperti biasa selepas mereka kembali sihat,” katanya.