59,940 syarikat, 198,046 kenderaan layak terima subsidi diesel bawah SKDS
Wartawan Nabalu News

13 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Jumlah permohonan untuk menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menunjukkan peningkatan mendadak selepas pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu.
Setakat semalam, sebanyak 59,940 syarikat dengan 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah diluluskan menerima subsidi diesel.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa perluasan BUDI MADANI: SKDS 2.0 yang dirintis pada 7 Mac lalu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Pada awalnya, program ini hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Pada 13 Mei lepas, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan, menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat. Ini termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.
Pada 9 Jun 2024, sehari sebelum pelarasan harga bermula, KPDN telah menerima permohonan daripada 40,264 syarikat yang melibatkan 156,242 kenderaan.
Jumlah permohonan yang diluluskan meningkat secara mendadak pada 10 Jun dengan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan.
Peningkatan ini adalah sebanyak 7,097 syarikat dan 16,584 kenderaan berbanding 9 Jun lalu yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat melibatkan 3,028 kenderaan," tambahnya.
KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat sehingga 30 Jun nanti, selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima kad 'fleet'.
Comments