• nabalunews

6.4 JUTA PENDUDUK SELESAI BANCI DALAM TALIAN (E-CENSUS) SEHINGGA 6 DIS



8 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Seramai 6.4 juta isi rumah Malaysia telah mengisi butiran mereka di laman web Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 secara dalam talian, e-Census sehingga 6 Dis, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jumlah itu mewakili 19.7 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk negara ini.


"Kami ada 13 hari lagi sebelum fasa banci secara dalam talian ini berakhir, dan kami harap sasaran 30 peratus untuk penduduk mengisi e-Census akan tercapai menjelang akhir tahun ini," katanya pada sesi soal jawab di sini hari ini.


Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang ingin tahu peratusan terkini jumlah isi rumah dan peratusan yang telah melengkapkan butiran mereka dalam laman web banci penduduk 2020 buat masa ini dan sasaran peratusan banci dalam talian yang ingin dicapai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) kali ini.


Katanya Banci 2020 dilaksana secara dua fasa, yang pada asalnya tempoh fasa pertama 7 Julai hingga 30 Sept dan tempoh fasa kedua adalah 7 hingga 24 Okt 2020.


Namun, tempoh pelaksanaannya telah dijadualkan semula iaitu fasa pertama secara dalam talian telah dilanjutkan sehingga 21 Dis dan fasa kedua secara bersemuka pada 20 Jan hingga 6 Feb 2021 berikutan pandemik COVID-19.


Sementara itu Mustapa berkata kementerian kini melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan respons secara dalam talian terutama bagi negeri seperti Sabah yang mempunyai peratusan respons paling rendah iaitu 6.7 peratus sahaja.


"Oleh itu bagi meningkatkan respons klinik e-Census, sebanyak 1,700 klinik telah diadakan, e-Census Hour dan e-Census Day secara dalam talian," katanya. – Bernama