top of page

6 GLIC labur RM120 billion dalam pelaburan langsung domestik

  • nabalunews
  • Aug 8, 2024
  • 2 min read

8 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Kerajaan hari ini mengumumkan inisiatif menerusi program GEAR-uP fasa pertama diterajui Kementerian Kewangan (MOF) melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama.


Enam GLIC utama telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.


Ia juga melibatkan siri pelaburan GLIC di dalam pasaran modal awam yang bernilai RM440 bilion.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, enam GLIC yang terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).


MOF dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pelaburan ini disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.


"Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.


"Pelaburan-pelaburan ini menjadi teras utama bagi program GEAR-uP dengan tujuan untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara.


"Enam GLIC yang terlibat, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu 'Menaikkan Siling' kedudukan ekonomi negara dan 'Menaikkan Lantai' kualiti hidup rakyat," jelasnya.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu.


“Dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat,” tambah beliau.


Jelas kenyataan itu lagi, melangkaui pelaburan modal, GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menerajui usaha untuk memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerjapekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuklah di dalam syarikatsyarikat pelaburan mereka.


Ini merangkumi, antara lain, komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,100 serta menyelaraskan penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page