top of page

60 peserta kursus terima manfaat program sosio-ekonomi anjuran ESSCOM dan KTYS di Sandakan

  • nabalunews
  • Aug 2, 2024
  • 2 min read

2 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Seramai 60 peserta menyertai Program Sosio-Ekonomi anjuran Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan yang diadakan selama lima hari berakhir hari ini.


Antara kursus pendek yang ditawarkan semasa program itu termasuk pemasaran digital, pembuatan bun dan pastri serta kulinari.


Pada program yang dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar Sandakan itu, lebih 185 pencari kerja juga hadir bagi temuduga pekerjaan selain pengambilan pelajar ke KTYS dan juga pusat kemahiran yang berkenaan.


Program berkenaan telah dirasmikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Joachim Gunsalam, pada Jumaat.


Turut hadir, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wilson Terence Thomas.


Pada sidang medianya, Joachim menghargai peranan ESSCOM yang menyantuni penduduk di PPR itu serta masyarakat dalam memperkasa ekonomi setempat dan menoktahkan kemiskinan golongan sasar.


Katanya, meskipun tugasan utama ESSCOM adalah menjaga keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), namun ia terus berusaha membantu penduduk meningkatkan tahap sosio-ekonomi masing-masing melalui program seumpama ini.


“Dengan adanya ESSCOM, kita dapat menjalani kehidupan seharian  dengan lebih tenang dan selamat," ujarnya.


"Usaha berterusan mereka dalam rondaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama erat dengan komuniti setempat amat dihargai dan patut dipuji. 


Sebagai rakyat Malaysia, kita patut sama-sama membantu agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat untuk membanteras jenayah,” katanya.


Joachim juga menghargai peranan KTYS yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan menerusi pelbagai program pendidikan dan latihan kemahiran. 


Beliau berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang program itu sekaligus menggunakan kemahiran dan ilmu yang mereka peroleh untuk meningkatkan ekonomi masing-masing dan mampu berdikari.


Jelasnya, kerajaan juga sentiasa berusaha mencari penyelesaian bagi menoktahkan kemiskinan golongan sasar di negeri ini.


Mengenai permintaan PPR yang banyak dan amat diperlukan rakyat, jelasnya ini juga sentiasa difikirkan selain terdapat projek perumahan lain seperti rumah mesra rakyat dan rumah mesra SMJ untuk rakyat dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.


Di Sandakan, terdapat 9 PPR yang telah diduduki masing-masing di pembinaan PPR Taman Mesra, PPR Taman Harmoni, PPR Taman Murni, PPR Lintas Sibuga, PPR Taman Muhibbah, PPR Sungai Manila, PPR Batu Sapi, PPR Gum-Gum dan PPR Batu Putih.


Berkenaan kerosakan beberapa unit PPR, jelasnya ia memerlukan pembaikan selain penghuni sebelum ini yang gagal menjaga dengan baik.


Pada majlis sama, Joachim turut menyantuni penduduk PPR Taman Harmoni selain berkesempatan mengedarkan bendera negeri Sabah kepada pemandu kenderaan di Lapangan Terbang bagi sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos ini. 

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page