top of page

607 menara baharu, liputan 4G akan dibina di Sabah

Wartawan Nabalu News


22 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 607 menara baharu akan dibina melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk meluaskan liputan 4G di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.


Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ruddy Awah berkata, sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 119 menara telah siap dilaksanakan.


“Sebagai tambahan, sebanyak 3,738 stesen pemancar sedia ada akan dinaiktaraf kepada 4G untuk meningkatkan kualiti liputan kepada pengguna. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,128 stesen pemancar telah siap dinaiktaraf,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undngan negeri, di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan Adun Likas Tan Lee Fat yang bertanya satus dan jumlah perbelanjaan bagi setiap projek di bawah JENDELA Sabah setakat ini.


Ruddy berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.7 bilion di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) dengan sebahagian daripadanya negeri Sabah diperuntukkan RM3.61 bilion sepanjang tempoh RMKe-12 yang melibatkan pembiayaan melalui Kumpulan Wang PPS di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).


“Peruntukan ini termasuk pembinaan menara baharu, menaiktaraf menara kepada 4G, penyediaan gentian optik ke premis, dan penyediaan jalur lebar satelit,” katanya.


Beliau berkata, bagi meluaskan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, premis tersedia gentian optik juga telah dilaksanakan di sekitar kawasan perumahan dan komersil.


“Sebanyak 251,165 premis tersedia dengan gentian optik telah dirancang bagi tujuan itu dan sebanyak 118,241 telah pun siap dipasang.


“Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2022,” katanya.


Katanya lagi, kawasan-kawasan pedalaman di Sabah turut diberi keutamaan melalui penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakanteknologi satelit.


“Bagi tujuan ini, 138 lokasi di kawasan pendalaman Sabah akan disediakan teknologi satelit menjelang April 2022. Disamping inisiatif MCMC, pihak KSTI telah memasang sebanyak 24 VSAT setakat ini dan bercadang memasang 300 VSAT sepanjang tahun 2022.


“Setakat 31 Januari 2022, sebanyak 63 lokasi telah pun siap dipasang jalur lebar satelit oleh MCMC. Pelaksanaan JENDELA akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan kepada perancangan terperinci serta permintaan daripada orang ramai.


“Bagi kawasan yang tidak termasuk di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, ianya akan diambil kira di bawah pelan Fasa 2 yang akan bermula dari tahun 2023 sehingga 2025,” katanya.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page