• Wartawan Nabalu News

62 KLUSTER COVID-19 DI SABAH MASIH AKTIF: MASIDI



26 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 84 kluster Covid-19 dikesan di Sabah dengan 63 daripadanya masih aktif, manakala 21 kluster sudah tamat.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, 13 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini (26 November), iaitu sebanyak 61 kes keseluruhannya.


Beliau berkata, sejak beberapa hari lalu tiada kluster baharu dikenalpasti terutama membabitkan tapak pembinaan disebabkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) industri pembinaan.


“Kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa berusaha membuat penguatkuasaan SOP industri pembinaan, memastikan ujian Covid-19 dilakukan sebelum memulakan pekerjaan dan bertindak pantas untuk pengasingan pekerja-pekerja yang didapati positif sebelum penularan yang lebih teruk,” katanya.


Masidi berkata, kes-kes jangkitan kluster Covid-19 di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang dikenalpasti berpunca daripada Sabah diberikan nama awalan ‘Bah’.


“Bermula lewat September sehingga hari ini, sebanyak 25 kluster dikenalpasti berpunca daripada jangkitan di Sabah,” katanya.