• nabalunews

62 SUKARELAWAN JADI KUMPULAN PERTAMA TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19



30 Jan 2021

SUNGAI PETANI: Seramai 62 sukarelawan menjadi kumpulan pertama di negara ini yang menerima suntikan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.


Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) HSAH Dr S.L Vijaya Kumar berkata semua sukarelawan dipilih daripada pelbagai latar belakang dan berusia 18 tahun ke atas serta memiliki tubuh badan yang sihat.


Beliau berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan untuk program tersebut yang dijalankan secara berperingkat dalam tempoh sebulan di hospital berkenaan.


"Setiap sukarelawan akan menerima dua suntikan dan selepas suntikan pertama mereka akan dipantau setiap minggu selama enam minggu untuk melihat kesan penerimaan atau reaksi badan mereka terhadap suntikan itu," katanya kepada pemberita di HSAH, di sini, hari ini.


Beliau berkata selepas suntikan pertama, setiap peserta akan disuntik untuk kali kedua pada hari ke-14 dan selepas pemantauan enam minggu pertama, mereka akan dipantau lagi setiap dua minggu melalui panggilan telefon selama setahun.


Sementara itu, Dr Vijaya Kumar berkata orang ramai boleh mendaftar sebagai sukarelawan bagi kajian klinikal berkenaan dengan menghubungi talian 011-57669114.


Rabu lepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kajian itu dimulakan di sembilan hospital dengan melibatkan 3,000 sukarelawan.


Beliau dilaporkan berkata kajian klinikal itu ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19.


Sembilan hospital terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) itu terdiri daripada HSAH, Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Sungai Buloh.


Sementara itu menerusi ciapan di laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa kajian sama turut dilakukan di Brazil. Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 telah dijalankan di China.


Menurutnya, vaksin kajian berkenaan adalah menggunakan platform vaksin tidak aktif diperbuat daripada virus yang telah dimatikan. - Bernama