650 pendatang asing tanpa izin Filipina dihantar pulang dari Sandakan
3 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seramai 650 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, petang tadi menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 16/2024 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Operasi), Jafri Embok Taha, berkata, PTI yang terlibat kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Papar sahaja.
Manakala tahanan yang terlibat dalam pemindahan kali ini berusia antara 1 tahun sehingga 82 tahun.
Sementara kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu, bapa dan penjaga masing-masing.
PATI terbabit dihantar pulang ke negara asal dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1 ke Zamboanga dari Pelabuhan Sandakan.
Beliau menyatakan perkara itu kepada media selepas meninjau proses penghantaran pulang PATI itu di Pelabuhan Sandakan petang tadi.
Katanya, kekerapan program pemindahan tahanan warganegara Filipina yang dilaksanakan oleh Imigresen Sabah juga tertakluk dengan kerjasama daripada pihak kedutaan Filipina dalam mempercepatkan proses dokumentasi tahanan.
Sementara itu sehingga hari ini, jelasnya, seramai 3,418 orang tahanan warganegara Filipina telah dipindahkan dalam tahun 2024 melibatkan pengangkutan laut dan udara menjadikan jumlah besar seramai 5,713 orang keseluruhan statistik warganegara asing yang telah dipindahkan.
Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.
"Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuatkuasa." Katanya.
Beliau juga mengingatkan para majikan yang menggaji pekerja asing dapat memastikan semua pekerja terlibat adalah mempunyai Pas (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di negeri Sabah.
Selain itu adalah diingatkan juga, agar semua individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong tidak menyalahgunakan pas untuk tujuan lain yang boleh menyebabkan mereka didakwa dan disenarai hitam untuk masuk semula ke Negeri Sabah seterusnya Malaysia sekiranya melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan.
Comments