top of page

670 PATI Filipina Dihantar Pulang

  • nabalunews
  • Apr 11
  • 2 min read


11 April 2025


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) berjaya menghantar pulang 670 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina, semalam.


Semua warga asing terbabit dihantar pulang menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal.


Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, PATI yang dihantar pulang melibatkan kanak-kanak dan dewasa berusia setahun hingga 79 tahun yang sebelum ini ditahan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.



Katanya, semua mereka dipindahkan ke Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1 melalui Pelabuhan Sandakan.


“Sehingga ke hari ini, seramai 3,379 individu warga Filipina berjaya dipindahkan ke negara asal dengan kerjasama penuh daripada pihak Kedutaan Republik Filipina yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Travel Documents (TD).


“Ini menjadikan jumlah keseluruhan warganegara asing yang terbabit dalam program pemindahan tahanan adalah seramai 4,198 individu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, semua PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.


“PATI terlibat sudah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan.


“Semua mereka juga akan disenarai hitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.


Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan Pati warganegara Filipina oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran TD secara berterusan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.


Katanya, operasi pemindahan tahanan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.


“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.


“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, majikan dan masyarakat dinasihatkan supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.


Katanya, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page