• Wartawan Nabalu News

7 BUAH RUMAH MUSNAH TERBAKAR DI MENGGATAL




4 JAN 2021


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh buah rumah di Kampung Tebobon, Menggatal, dekat sini, musnah dalam kebakaran, kira-kira jam 2 pagi tadi.


Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan hanya kediaman serta harta benda di dalamnya musnah.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 pagi.


"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas digerakkan ke lokasi kejadian diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Aguastavia Joe Guasi dengan kekuatan 10 anggota pelbagai pangkat serta sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker," kata kenyataan itu, di sini, hari ini.


Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan tujuh buah rumah tidak kekal, termasuk sebuah kedai jenis separuh kekal.


Operasi terkawal pada jam 4.36 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 8.03 pagi.