• Wartawan Nabalu News

77 KOMPAUN DIKELUARKAN LANGAR SOP COVID DI SABAH


Gambar hiasan

12 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 77 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah dikeluarkan di seluruh Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 31 orang tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul, dua orang gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan.


“Seramai 17 orang membawa penumpang berlebihan, 17 orang keluar rumah tanpa alasan munasabah, sembilan individu gagal mendaftar masuk premis dan satu kompaun dikenakan atas kesalahan premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, sebanyak 787 premis perniagaan telah diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


“Tiga kompaun dikeluarkan atas kesalahan gagal mendaftar masuk premis menggunakan MySejahtera/ Buku Pendaftaran. Kompaun dikeluarkan di daerah

Keningau oleh Majlis Daerah Keningau.


“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga telah menjalankan penguatkuasaan

pematuhan SOP ke atas 69 premis perniagaan dan 100 individu di 18 kawasan. Tiada

kompaun dikenakan kepada individu dan premis,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan 120 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 24 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.


“Hasil pemeriksaan, satu tangkapan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.


Mengenai sekatan jalan raya (SJR), Masidi berkata, sejumlah 148 SJR dilaksana dalam tempoh 24 jam, melibatkan pemeriksaan 60,902 buah kenderaan.


Katanya, daripada jumlah tersebut, 464 buah kenderaan diarah berpatah balik.


“Pada hari ini, PDRM melaksanakan 71 hebahan melalui kereta peronda dengan dua

tangkapan dibuat,” katanya.