• Jacquline Ebit

779 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini, lapan kematian



29 Julai 2021 Oleh Jacquline Ebit KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ialah 776 kes iaitu penurunan sebanyak 137 kes berbanding 913 kes yang dicatatkan semalam. Lapan kes kematian turut dicatatkan hari ini iaitu empat kes di Kota Kinabalu manakala Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Beaufort masing-masing mencatatkan satu kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu kecuali Sipitang.


"Kota Kinabalu terus kekal sebagai daerah dengan kes tertinggi dengan catatan 214 kes, diikuti Sandakan 86 kes, Tawau 75 kes, Penampang 61 kes, Tuaran 58 kes dan Papar 55 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 439 adalah daripada saringan kontak rapat, 153 kes daripada saringan bergejala, 74 kes daripada saringan kluster. “Saringan bersasar pula menyumbang kepada 32 kes manakala saringan lain-lain kes mencatatkan 78 kes” katanya. Beliau berkata, 81.04 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 344 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 285 kes sekadar mengalami simptom ringan. “Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya. Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 641 menjadikan jumlah kumulatif 75,905 orang. “Seramai 3,795 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 761 orang di hospital, 2,975 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 59 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. “Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 89 orang dan 26 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.