- nabalunews
8 sekolah kebangsaan di Penampang yang terkesan banjir, terima bantuan Program Ehsan @ Kuskop
6 Ogos 2024
PENAMPANG : 8 sekolah kebangsaan (SK) di Penampang yang terjejas teruk akibat banjir pada 30 Jun lalu menerima bantuan Program Ehsan @ Kuskop.
Sumbangan daripada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick melalui Pusat Khidmat P. 174 Parlimen Penampang kepada 8 sekolah terbabit, diserahkan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat P. 174 Parlimen Penampang, Bryan Matasing yang mewakili Ewon, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Sulit Ewon, Shellynn E Lo dan kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Penampang, Jennifer T.
8 sekolah Kebangsaan yang menerima sumbangan di bawah Program Ehsan @ Kuskop ialah SK. Bahang, SK Penampang, SK. Puun Tunoh, SK. Buit Hill, SK. St. Paul Kolopis, SK. Putaton Inobong, SK. St. Aloysius Limbanak dan SK. Sugud.
Bantuan ehsan ini diberikan kepada pelajar yang dikategorikan ‘terjejas teruk’ seperti kehilangan pakaian seragam sekolah, kasut sekolah dan keperluan alat tulis semasa banjir besar yang melanda daerah Penampang pada 30 Jun dan 1 Julai lalu itu.
Ketika di majlis penyampaian sumbangan melalui Program Ehsan@KUSKOP, di Dewan Siga Tuavon, Penampang pada 1 Ogos lalu, Ewon berkata setiap pelajar yang telah dikenalpasti oleh sekolah-sekolah berkenaan akan menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.
Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan bebanan para pelajar yang terjejas teruk akibat banjir.
Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang menyampaikan bantuan ehsan berjumlah RM109,600 kepada lapan buah sekolah terbabit menerusi Program Ehsan @ Kuskop.
Commentaires