nabalunews
80 peniaga sertai Little Hong Kong Food Fair anjuran JCI Sandakan
2 November 2024
SANDAKAN: Seramai 80 peniaga dari Sandakan dan beberapa daerah lain menyertai Little Hong Kong Food Fair oleh Junior Chamber International (JCI) yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Persatuan Harapan Dinamik Sabah di Kompleks Sukan Sandakan selama tiga hari bermula semalam hingga esok (3 November).
Majlis pembukaan karnival itu dirasmikan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee malam semalam dan turut dihadiri Pengerusi Penganjur Little Hong Kong Food Fair, Michael Chang Yam Kei dan Presiden JCI Sandakan, Kenny Lee dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Sandakan, Irman Tajuddin Edy.
Ketika ditemui media, Vivian menyambut baik penganjuran karnival itu yang mampu menarik ramai pelancong ke Sandakan selain memberi peluang menjana pendapatan serta ekonomi kepada peniaga setempat.
Vivian menambah, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak program anjuran golongan muda seperti JCI dan yang lain dalam sama-sama membangun ekonomi dan mempromosi pelancongan melalui sektor makanan.
Beliau berkata, lebih menarik, karnival itu juga diisi dengan pertandingan tarian singa kebangsaan dan antarabangsa yang menampilkan keunikan dan kecekapan para peserta yang juga menarik minat pengunjung.
Sementara itu, Michael Chang mengucapkan terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus menjayakan acara itu yang juga kali kedua diadakan JCI selepas kali pertama pada tahun 2023 yang mempunyai tujuan sama iaitu memperkenalkan keunikan Sandakan melalui makanan dan juga keunikan yang ada di daerah ini.
Comments