top of page

800 hadir program penutupan Bulan Kebangsaan SK Kemabong

  • nabalunews
  • Oct 7, 2024
  • 2 min read



6 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Program Penutupan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong yang berlangsung di Dataran Pekan Daerah Kecil Kemabong dekat sini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti.


Antaranya perbarisan lintas lalu kreatif oleh 10 kontinjen, pertandingan Fesyen bahan kitar semula, Koir Patriotik dan persembahan kebudayaan suku kaum.


Program anjuran bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Tenom dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) ini dihadiri lebih 800 orang terdiri daripada Komuniti Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Zon Kemabong.


Berucap merasmikan program itu, Pengerusi HAWA Desa Malaysia, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata program ini amat bermakna bagi segenap lapisan masyarakat dalam menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air seterusnya memberi pendedahan kepada generasi muda khasnya murid mengenai kecekalan dan perjuangan tokoh kemerdekaan masa lalu untuk membebaskan negara daripada penjajah ketika itu.


“Program ini amat sinonim dengan keperluan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, warga sekolah dan murid agar kita semua perlu tahu sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan terdahulu dan seharusnya terus mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara yang dikecapi masa kini," katanya.


Pada majlis itu, Rahmahjan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi acara yang dianjurkan.


Acara perbarisan lintas lalu kreatif dijuarai oleh PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Api, Naib Johan PIBG SK Kemabong dan tempat Ketiga zon 6 PIBG SK Kemabong.


Manakala bagi fesyen bahan kitar semula, Briana Presley mewakili SK Kemabong muncul johan. Manakala naib johan adalah Nursyakira yang mewakili SK Kungkular dan Ketiga Njell Suganda mewakili SK Sungai Api.


Pertandingan Koir Patriotik kategori PIBG dimenangi PIBG SK Kemabong, Naib Johan PIBG SK Kungkular dan Ketiga PIBG SK Bamban.


Turut hadir di majlis ini, Murkam Hussein, Presiden KGKS Negeri Sabah, Sani Awang Ali Setiausaha Agung Persatuan Guru Besar Malaysia Sabah, guru-guru besar daerah Tenom dan pengerusi PIBG zon Kemabong.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page