• Wartawan Nabalu News

86 KES POSITIF BAHARU DI SABAH MENINGKAT 17 KES BERBANDING KELMARIN




1 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 86 kes, meningkat 17 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,853 kes dan satu kes kematian direkodkan di Keningau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 86 kes positif Covid-19, sebanyak 28 kes (32.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 13 kes (15.1%) saringan bergejala, 41 kes (47.7%) dari kluster sedia ada serta empat kes (4.7%) dari lain-lain kategori.


"Daerah yang mencatatkan kes tertinggi hari ini ialah Tawau sebanyak 40 kes, diikuti Keningau (15 kes), Kinabatangan (11 kes), Kunak (tujuh kes), Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing tiga kes, Lahad Datu, Tuaran dan Penampang masing-masing dua kes dan Nabawan mencatatkan satu kes.


"Sebanyak 17 daerah mencatatkan sifar kes hari ini iaitu Kalabakan, Putatan, Kota Belud, Papar, Tenom, Kota Marudu, Kudat, Tambunan, Beaufort, Semporna, Sipitang, Beluran, Telupid, Ranau, Pitas, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital ialah 61 menjadikan jumlah kumulatif 53,991 orang.


Katanya, seramai 429 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 171 orang di hospital dan 258 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.


"Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 26 orang dan 14 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.