top of page
  • nabalunews

97 premis makanan di Tawau dianugerah Sijil Gred A

16 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Sebanyak 97 premis makanan di daerah ini dianugerahkan Sijil Gred A sempena Majlis Penganugerahan Sijil Pengredan Premis Makanan 2024 yang berlangsung di Dewan Sri, di sini, hari ini.


Kesemua premis itu adalah antara 280 premis makanan yang dibahagikan kepada empat zon bagi pemeriksaan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau sempena Program Penggredan Premis Makanan bagi tahun ini.


Empat zon itu terdiri daripada Zon 1 iaitu kawasan bandar melibatkan 39 premis yang diberi sijil Gred A; Zon 2 iaitu Jalan Utara, Semarak dan Hotspring (11 premis); Zon 3 iaitu Kubota, Hua Dat Industry dan Lee Industry (33 premis) dan Tiada Zon iaitu Balung, Merotai, Airport dan Bandar Sri Indah (14 premis).


Anugerah-anugerah mengikut zon itu disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Rina Jainal.


Ketika ditemui media, beliau menyifatkan penganugerahan itu adalah lambang usaha gigih dan komitmen yang menjadi inspirasi kepada pemain industri itu untuk terus mengekalkan aspek penjagaan kebersihan dan memastikan keselamatan makanan berada di tahap yang tinggi.


Menurutnya, pengredan premis makanan sememangnya penting di daerah ini dalam usaha menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negeri kerana mereka akan lebih yakin untuk menikmati hidangan.


Tambahan pula, katanya, gaya hidup masyarakat hari ini gemar menikmati hidangan di luar, khususnya golongan yang berdepan kekangan masa dan faktor pekerjaan.


“Justeru, kita amat berharap premis-premis makanan di daerah ini dapat menyediakan makanan dan minuman yang terjamin bersih dan sihat kerana aspek kebersihan juga menjadi kunci kejayaan perniagaan mereka apabila ramai pengunjung datang,” katanya.


Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata objektif pengredan premis makanan adalah untuk memberikan penarafan dan pengiktirafan kepada sesebuah premis mengikut tahap kebersihannya dalam memastikan makanan yang disediakan selamat untuk dimakan.


Katanya, tanpa penjagaan yang rapi premis makanan boleh menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan serius, termasuk kematian, khususnya penyakit bawaan makanan dan minuman.

Comentarios


bottom of page