Agong titah perpaduan kunci utama keharmonian dan kesejahteraan
31 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa perpaduan berbilang kaum adalah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Baginda berkenan menyampaikan titah itu menerusi Facebook Istana Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang mengusung tema "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Baginda menegaskan bahawa keutuhan perpaduan ini juga penting untuk kestabilan dan kemakmuran negara serta sumber kekuatan untuk menghadapi cabaran-cabaran.
Baginda juga menyeru rakyat untuk mengenang jasa-jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara yang telah memupuk perpaduan dan mempertahankan kedaulatan negara.
"Justeru, menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita," titah baginda.
Baginda juga mengajak rakyat untuk mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang musibah dan bencana.
Baginda berdua dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Comments