top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli-ahli Majlis Daerah baharu diminta bersama Kerajaan dalam menjayakan SMJ


4 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seramai 56 Ahli-ahli Majlis Daerah yang baharu dilantik bagi tiga daerah iaitu Lahad Datu, Semporna dan Kunak diminta untuk bersama Kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata Ahli-ahli Majlis perlu bersikap peka dan proaktif dalam melaksanakan perancangan pembangunan yang telah diputuskan oleh Kerajaan serta menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.


“Saya berharap semua ahli-ahli majlis bekerjasama sebagai satu pasukan dan bertanggungjawab memastikan apa juga perancangan serta aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Upacara Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Majlis Daerah yang baharu bagi tahun 2023-2025 di Ballroom II, Borneo Royale Hotel pada Isnin.


Beliau juga menasihatkan Ahli-ahli Majlis supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas mereka sebagai perantara di antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan.


Dr Joachim berkata, Ahli Majlis juga adalah barisan hadapan sekali gus perlu memahami peranan dan fungsi selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Majlis yang telah dilantik dan percaya ini adalah pilihan yang terbaik dan gabungan pemikir yang cerdik dari tiga daerah yang pastinya mempunyai idea yang bernas ke arah memajukan kawasan masing-masing.


“Saya dimaklumkan Ahli-ahli Majlis baharu yang dilantik ini datangnya daripada pelbagai latar belakang antaranya bekas Pegawai Daerah, pesara Jurutera, kontraktor dan juga ahli perniagaan,” katanya.



bottom of page