• Farah Salim

Ahli Parlimen kecam Speaker tidak benarkan isu banjir dibahas di Dewan Rakyat


20 Disember 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen telah meluahkan rasa amarah apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak membenarkan mereka membahas isu banjir yang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.


Azhar memberi alasan bahawa isu itu tidak boleh dibahaskan kerana ia terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi ciapan Twitternya berkata, beliau merasa kesal ke atas keputusan Azhar tidak membenarkan perbahasan bencana darurat banjir atas alasan teknikal tersebut.


“Tan Sri Speaker enggan benarkan perbahasan tergempar isu banjir, walaupun pembangkang dan penyokong kerajaan mahu penjelasan dari kerajaan.


“Dengan segala hormatnya, Tan Sri, sememangnya banjir itu tidak dalam Aturan! Kita nak bahas bila Dewan, rumah Speaker banjir?” katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan beliau akan menulis beberapa cadangan kepada kerajaan memandangkan isu tersebut tidak dibenarkan untuk dibahas.


“Baru balik dari parlimen sebab sesi dipendekkan. Saya nak bangkitkan isu pengurusan banjir dalam perbahasan saya tapi kerajaan tolak dan tamatkan sesi serta merta.


“Saya akan menulis cadangan saya kepada kerajaan. Kita perlu bertindak lebih proaktif dalam hal ini,” tegasnya.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau juga menzahirkan rasa kecewa beliau terhadap kejadian yang berlaku di Dewan Rakyat.


“Ahli Parlimen memindahkan Usul Tergempar untuk membahaskan situasi banjir di Parlimen pagi ini tetapi Speaker tidak membenarkannya.


“Sungguh menyedihkan bahawa usul sedemikian dikecewakan dan bukannya dipermudahkan,” katanya.


Semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau menteri berkaitan untuk memberi penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk segera menangani banjir.


Ahli Parlimen dari blok kerajaan iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) turut menyoalkan perkara yang sama.


“Kalau hendak penerangan menteri itu selalunya itu terserah kepada menteri untuk membuat penerangan dengan memberi notis kepada saya bahawa mereka akan membuat penerangan di bawah 14 (1) (i).


“Kita tidak boleh melompat dari satu isu ke satu isu tanpa isu itu berada dalam AUM. Begitu kita buat, begitu kita jalankan meneruskan (sidang) Parlimen,” jawab Azhar semasa ditanya mengenai perkara itu.

Dilaporkan jumlah mangsa banjir di lapan negeri dicatat sebanyak 44,652 mangsa daripada 13,487 keluarga setakat jam 10 pagi hari ini.


Jumlah yang dinyatakan itu turut membabitkan 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi. Turut terkesan dalam bencana berkenaan ialah 1,503 warga emas serta 293 mangsa dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).