AHLI PARLIMEN KRITIK MESYUARAT KHAS PARLIMEN TANPA PERBAHASAN

16 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini tanpa perbahasan mengundang ketidakpuasan hati dan kritikan beberapa Ahli Parlimen.
Mereka mengkritik jadual perjalanan sidang Dewan Rakyat itu setelah mendapati ia hanya untuk sesi penerangan daripada menteri-menteri.
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dalam perkongsian melalui Twitter berkata: “Pertanyaan lisan, pertanyaan menteri, usul, bahas RUU tak boleh”.
“Bawa masalah rakyat tunggu September dulu,” katanya.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut meluahkan kekecewaan dan menyifatkan mesyuarat khas itu sebagai “memalukan”.
“Apa fungsi Parlimen jika MP yang dibayar gaji puluhan ribu hanya perlu hadir untuk dengar penerangan daripada menteri?.
“Mana hak kami untuk bersuara dan mengundi. Sudah berbulan lockdown tapi kes melebihi 13,000. Saya dibayar oleh rakyat, saya mesti membawa suara mereka,” katanya dalam Twitter.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata: “Ini bermaksud Ahli Parlimen hanya boleh bertanya soalan kepada menteri di Parlimen bermula bulan September”.
Ahli Parlimen Pulai Datuk Salahuddin Ayub pula menyifatkan persidangan Parlimen pada 26 Julai hingga 2 Ogos ini sebagai ‘kelas tadika’.
“Persidangan Parlimen yang ditetapkan pada 26 Julai hingga 2 Ogos ini hanya menjadikan Parlimen macam kelas tadika.
“Ini melanggar titah Agong pada 29 Jun 2021 untuk membahas ordinan darurat dan melaksanakan semak imbang pentadbiran negara,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof Rawa turut menyifatkan Sidang Parlimen di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘sidang penerangan’
Beliau berkata, ini kerana berdasarkan takwim Mesyuarat Khas yang diedarkan urusan majlis hanya dinyatakan 'penerangan daripada menteri-menteri'.
"Penerangan Menteri bermakna tiada perbahasan, hanya dengar (penerangan menteri-menteri) sahaja selama lima hari,” katanya dalam Twitter.
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Facebooknya menyatakan: “Jika sekadar hanya buat sidang parlimen untuk beri taklimat selama lima hari berturut maka rakamlah dalam video untuk dimuat naik ke Youtube bagi kita tonton”.
Beliau berkata, titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah pada 16 Jun lalu ialah sidang parlimen diadakan secepat mungkin bagi membahas Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan-Ordinan Darurat.
“Bukan untuk kita pergi ke parlimen untuk mendengar penerangan atau taklimat dari menteri-menteri.
“Apa yang kamu susah faham dengan titah YDP Agong dan Raja-Raja? Soal Najib.
Jadual sidang lima hari itu dimuat naik di media sosial dan tiada sesi lain yang akan dijalankan kecuali penerangan menteri.
Sebelum ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mesyuarat Khas Parlimen akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai.
Manakala Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini hingga 30 September dan mesyuarat kedua pula bermula pada 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 iaitu selama 32 hari.
תגובות