top of page

AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG CADANG KERAJAAN LAKSANA SEMULA ENAM BULAN MORATORIUM

  • nabalunews
  • Jan 23, 2021
  • 1 min read


23 Jan 2021

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 25 Ahli Parlimen pembangkang hari ini meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas.


Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 Ahli Parlimen itu, inisiatif enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.


"Dengan cara itu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan serta menggalakkan mereka mengekalkan (pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini," menurut kenyataan itu.


Menurut mereka industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.


Mereka turut mencadangkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM600 setiap pekerja dinaikkan dan diberi kepada individu yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 serta melanjutkannya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.


"Subsidi upah bagi enam bulan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga pertengahan tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai," menurut kenyataan itu.


Antara Ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Darell Leiking (Penampang); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Hannah Yeoh (Segambut); Yeo Bee Yin (Bakri); Baru Bian (Selangau); Datuk Rozman Isli (Labuan); dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai). - Bernama


Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page