AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG SYOR SIARAN RADIO PENDIDIKAN DIMANFAAT SEWAKTU PANDEMIK COVID-19AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG SYOR SIARAN RADIO PENDIDIKAN DIMANFAAT SEWAKTU PANDEMIK COVID-19
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG SYOR SIARAN RADIO PENDIDIKAN DIMANFAAT SEWAKTU PANDEMIK COVID-19



27 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua Ahli Parlimen blok pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), membuka semula siaran rancangan pendidikan melalui radio sebagai komplementasi kepada TV Pendidikan dan Pendidikan atas talian (PdPR).


Kenyataan media bersama Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan dan Parti-Parti Pembangkang itu dikeluarkan oleh Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Wilfred Madius Tangau, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), Dato' Wira Amiruddin Hamzah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), dan Ahmad Hassan dari Parti Warisan Sabah (WARISAN)



Mereka mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan bahan Pendidikan berteraskan radio melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk diberikan kepada stesen-stesen radio nasional dan negeri sama ada awam mahupun swasta.


“Mendapatkan kerjasama syarikat telekomunikasi untuk membiayai rancangan-rancangan Pendidikan melalui radio bagi pelajar yang tidak mendapat capaian internet.


“Radio Pendidikan adalah teknologi kos murah yang telah mempamerkan impak positif bermula sejak awal tahun 1920 di seluruh dunia.


“Bahkan penggunaan siaran Radio Pendidikan telah digunakan semasa dilanda epidemik penyakit Polio pada sekitar tahun 1937 di Amerika Syarikat sebagai pembelajaran jarak jauh yang efektif.



“Kini ianya telah mengalami evolusi dan dikenali sebagai Radio Pendidikan lnteraktif (RPI). Ciri non-visual pada RPI menjadi kekuatan unik, kerana murid tidak dapat melihat visual yang menjadi topik perbincangan dan harus menumpukan sepenuh perhatian kepada mesej audio yang disampaikan untuk mengimaginasi dan menghadam aspek pembelajaran yang diajar,” menurut kenyatan itu.


Mereka berpendapat pembelajaran menerusi siaran radio antara mekanisme yang patut digunakan oleh KPM, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.


"Ini kerana segelintir kawasan pedalaman dan luar bandar berdepan kekangan capaian internet untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.


"Oleh itu, Kementerian Pendidikan memerlukan satu pelan tindakan pendidikan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini.



"Di samping kaedah pembelajaran berasaskan internet sedia ada, pihak KPM harus menyediakan satu platform yang lebih holistik untuk memudahkan semua guru dan pelajar," katanya.


Walaupun kawasan bandar mempunyai capaian internet namun ramai pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran secara online kerana tidak memiliki peralatan seperti komputer, komputer riba dan gajet.


Menurut kenyataan itu, pembelajaran menerusi platform internet hanya dapat dinikmati berdasarkan demografi dan pemilikan peralatan pembelajaran yang sesuai.


"Meskipun KPM telah melancarkan siaran TV Pendidikan melalui pihak swasta melalui slot berbayar airtime 17 jam setiap hari dengan jenama DidikTV sejak 16 Feb lalu, namun ia tidak dapat berfungsi secara menyeluruh kerana slot siaran yang terhad," katanya.


Sehubungan itu mereka menggesa agar KPM mengaktifkan semula siaran pendidikan melalui radio sebagai komplementasi kepada TV Pendidikan dan pendidikan atas talian (PdPR).



bottom of page