top of page

AirAsia Pindah Operasi Domestik ke KLIA T2 Mulai 7 April

  • nabalunews
  • Mar 7
  • 2 min read

7 Mac 2025


SEPANG: AirAsia akan memindahkan perkhidmatan domestik dari Lapangan Terbang Sultan Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) bermula 7 April depan.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan AirAsia pada Khamis, berkata, pemindahan itu bagi mengoptimumkan operasi seiring dengan dengan peningkatan permintaan serta meningkatkan pengalaman penerbangan secara keseluruhan.


Katanya, jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching meningkat secara signifikan melebihi 16 peratus dari tahun ke tahun.


“Penggabungan operasi domestik di KLIA T2 akan membolehkan syarikat penerbangan itu menampung penambahan trafik dengan lebih baik.


“Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan kemudahan terutamanya kepada penduduk bandar, namun pembangunan semulanya bagi menyokong pertumbuhan masa depan perlu mengambil masa,” katanya.


Menurutnya, pemindahan operasi ke KLIA T2 merupakan langkah terbaik bagi mengoptimumkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, infrastruktur di KLIA T2 lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar - terutamanya pada waktu puncak perjalanan.


Katanya, ia juga mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi ke Sabah dan Sarawak.


“AirAsia akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu perayaan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia.


“Ini membolehkan majoriti tetamu yang melakukan perjalanan sempena musim perayaan ini menikmati kemudahan tersebut sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2,” katanya.


Menurutnya, AirAsia juga telah menyediakan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan (SRO) termasuk pertukaran penerbangan secara percuma dalam tempoh 30 hari, akaun kredit, atau bayaran balik penuh, bagi mengurangkan kesulitan kepada penumpang.


“Sesi perundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat keterhubungan jangka panjang lapangan terbang utama.


“KLIA T2 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab mega utama di rantau ini dan kami berbangga untuk terus mengukuhkan kehadiran kami sebagai syarikat penerbangan utama,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page