AirAsia tambah 2,000 penerbangan mingguan, 150,000 tempat duduk
- nabalunews
- Sep 24, 2024
- 2 min read

24 September 2024
SEPANG: AirAsia Malaysia menyasarkan peningkatan 20 peratus dalam pendapatannya tahun ini menerusi penambahan 2,000 penerbangan mingguan dan sejumlah 150,000 tempat duduk ke 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Fareh Mazputra, berkata bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sempena akhir tahun, pengembangan ini akan menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada tetamu tempatan dan serantau untuk menghubungkan mereka ke destinasi menarik di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini katanya, menekankan komitmen AirAsia untuk meningkatkan rangkaian dan memastikan perjalanan lebih mudah untuk diakses serta berpatutan untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Pengembangan rangkaian penerbangan domestik ini adalah bukti komitmen kami dengan sejumlah 1.7 juta tempat duduk tersedia untuk tempahan menjelang bulan Disember 2024.
"Melalui pengembangan ini, penguasaan pasaran AirAsia dijangka akan meningkat kepada 64 peratus, seterusnya memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor penerbangan di Malaysia.
"Dengan keupayaan dan dedikasi untuk mengekalkan pengalaman perjalanan para tetamu pada tahap tertinggi, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik dalam industri penerbangan yang dinamik dan mencabar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman penambahan kapasiti penerbangan syarikat itu dan pengenalan AirAsia Plus di sini, semalam.
AirAsia Plus adalah pakej yang menawarkan nilai tambah kepada tetamu yang terbang dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB).
Pakej AirAsia Plus ini merangkumi bagasi kabin tujuh kilogram (kg), bagasi daftar masuk 20 kg, pilihan tempat duduk, hidangan dalam penerbangan dan insurans Jaminan Bagasi dan Ketepatan Masa (OTG) yang menawarkan penyelesaian perjalanan yang menyeluruh.
Pakej ini akan tersedia untuk tempahan bermula 8 Oktober 2024 bagi tempoh perjalanan mulai 9 Oktober 2024.
Mengulas lanjut Fareh Mazputra berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk menawarkan perjalanan lebih nilai kepada para tetamu dengan tambang berpatutan.
"AirAsia Plus direka dengan mengambil kira permintaan dan keperluan tetamu untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik bersama-sama kami.
"Ia bukan sekadar perkhidmatan tambahan, tetapi tawaran pengalaman perjalanan lebih baik kepada para tetamu," katanya.
Tambah beliau, seperti syarikat penerbangan lain, pihaknya juga sedang menghadapi cabaran seperti kekurangan pesawat dan gangguan rantaian bekalan.
"Kami bersedia untuk menangani isu-isu ini dengan perancangan yang teliti, kecekapan operasi dan pemulihan perkhidmatan bagi mengurangkan impak kepada tetamu untuk memastikan mereka tiba ke destinasi dengan selamat.
"Kami berbangga dengan sumbangan berterusan AirAsia kepada sektor penerbangan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai salah satu hab mega syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terkemuka di dunia," katanya.
Comentarios