top of page
nabalunews

AirAsia teruskan operasi meskipun gangguan sistem, guna proses secara manual, semua penumpang AirAsia diminta tiba lebih awal di lapangan terbang untuk mengelak kemungkinan kelewatan



20 Julai 2024


KUALA LUMPUR: AirAsia akan meneruskan operasi penerbangannya dan menegaskan bahawa pemprosesan manual kekal sebagai kaedah yang paling boleh dipercayai dan selamat ketika syarikat penerbangan itu berusaha sedaya upaya memulihkan sistemnya berikutan gangguan teknologi maklumat (IT) global.


Menurut laporan Bernama, syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata para petugasnya sedang bertungkus lumus sepanjang masa untuk memulihkan sistem kawalan berlepasnya (DCS) selepas gangguan teknologi yang telah menjejaskan syarikat penerbangan di seluruh dunia.


“Semua penumpang AirAsia diminta tiba lebih awal di lapangan terbang untuk mengelak kemungkinan kelewatan melakukan daftar masuk manual di kaunter dan menyelesaikan semua formaliti perjalanan,” katanya.


Syarikat penerbangan itu berkata ia juga telah memantapkan operasinya untuk menangani gelombang hujung minggu di lapangan terbang dengan menempatkan lebih 200 kakitangan darat dan hampir 100 sukarelawan serta anggota keselamatan untuk membantu memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggannya.


AirAsia berkata penumpang yang melakukan perjalanan hari ini perlu memantau status penerbangan mereka dengan menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka atau melayari airasia.com/flightstatus untuk kemas kini penerbangan.


Semalam, syarikat penerbangan itu berkata ia meneruskan operasinya di tengah-tengah gangguan sistem teknologi maklumat global dan menasihati penumpang akan kemungkinan kelewatan untuk berlepas berikutan penggunaan pemprosesan manual.

Comments


bottom of page