• nabalunews

AKIIP2020 UMS: LIEW RANGKUL DUA ANUGERAH UTAMA


Dr Liew Thor Seng

18 DIS 2020


KOTA KINABALU: Dr Liew Thor Seng dan Ts. Dr. Aslina Baharum dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (AKIIP 2020) peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.


Dr Liew seorang Penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), manakala Dr. Aslina, Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) masing-masing menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan sekali gus menerima hadiah berupa wang RM1,500 beserta sijil penyertaan.


Dr. Liew menjadi pemenang berganda apabila turut dinobatkan sebagai johan bagi Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya).


Bagi Anugerah Pengajaran Transformatif pula, tempat ketiga dimenangi pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Marry Tracy Pawan, manakala naib johan disandang oleh kumpulan yang diketuai Prof Madya Ir. Dr. Nurmin Bolong dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ)


Johan bagi anugerah ini dimenangi kumpulan yang diketuai Dr. Nur Thara Atikah Zainal dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).


Dua kumpulan dari Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) kemudiannya muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan naib johan bagi Anugerah Pentaksiran Alternatif.


Johan bagi anugerah ini menjadi milik peserta solo dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr. Intan Soliha Ibrahim.


Penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada ahli akademik PPST ternyata tidak sia-sia apabila sekumpulan pensyarahnya diisytiharkan oleh panel penilai sebagai johan bagi Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun). Kumpulan itu yang diketuai Elnetthra Folly Eldy menyingkirkan sebuah lagi kumpulan dari PPST di tempat ketiga. Manakala naib johan jatuh kepada pasukan ahli akademik PPIB.


PPST sekali lagi menjadi kumpulan pencabar utama kepada FKJ bagi merebut Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka). Namun, keputusan berpihak kepada FKJ yang diketuai Dr. Nurmin Bolong untuk unggul dinobatkan sebagai johan. Kumpulan PPST yang tidak kurang hebatnya terpaksa akur di tempat kedua.


Semua pemenang tempat ketiga, naib johan dan johan masing-masing menerima hadiah RM300, RM500 dan RM1,000.


Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.


Untuk rekod, pertandingan AKIIP 2020 terbuka kepada semua staf akademik UMS secara individu atau berkumpulan melalui penilaian terhadap bahan pengajaran dan pembelajaran yang dihantar mengikut tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.


Kesemua penyertaan diadili oleh tujuh panel penilai termasuk lima penilai dalaman UMS dan dua penilai dari luar.