- Wartawan Nabalu News
Akta Anti Lompat Parti berkuatkuasa esok

4 Oktober 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Anti Lompat Parti akan berkuatkuasa 5 Oktober ini (esok).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited memastikan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang digubal dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi kepada Ali Dewan Rakyat yang dipilih ketika proses pilihan raya.
Beliau menjelaskan, Akta Perlembagaan (Pindaan) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos lalu dan telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September 2022.
"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wan Junaidi berkata, akta itu telah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat seramai 209 orang dan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 dengan sokongan majoriti seramai 52 orang Senator.
“Dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] mulai 5 Oktober ini, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat Negeri, tertakluk perkenan Sultan/ Tuan Yang Terutama/Raja Negeri berkenaan.