top of page
  • Wartawan Nabalu News

Akta berkaitan kepentingan Sabah yang dibentang di parlimen perlu ratifikasi Dewan Undangan - Ewon


22 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar semua Akta baharu yang mahu diperkenalkan di Parlimen yang berkaitan dengan kepentingan Sabah perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk ratifikasi.


Menurut beliau, peranan Dewan Undangan Negeri sangat besar kerana ianya mewakili aspirasi rakyat berkenaan dengan hak-hak dan kepentingan Sabah.


"Kalau Kabinet Negeri sahaja yang membuat keputusan berkaitan haj Sabah dengan membelakangkan kuasa Dewan Undangan Negeri, maka ianya akan menjadi tanggungjawab blok kerajaan sahaja. Tetapi kalau platform Dewan Undangan Negeri digunakan untuk memuktamadkan sebarang perkara berkaitan hak Sabah, maka ianya menjadi tanggungjawab kesemua Ahli Dewan, iaitu merentasi sempadan parti samada blok kerajaan, blok pembangkang atau blok bebas.


"Mari kita ambil ikhtibar keputusan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1976 apabila Ketua Menteri dan seorang Menteri Negeri menandatangani Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang menyerahkan hak ke atas sumber asli terbesar Sabah kelapa Petronas tanpa ratifikasi Dewan Undangan Negeri. Kita juga tidak tahu samada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah telah memberi perkenan kepada Akta tersebut ketika itu?" katanya.


Ewon menambah, Dewan Undangan Negeri boleh membuat ketetapan untuk menentukan keabsahan Akta Kemajuan Petoliam tersebut.


"Tiada Akta yang tidak boleh dipinda sedangkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri juga boleh dipinda. Jadi kenapa kita tidak bincang di Dewan ini keabsahan Akta Kemajuan Petroliam tersebut dan sebarang perjanjian yang dibuat berkaitan dengannya," kata Ewon.


Beliau menyatakan demikian di sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung hari ini.