Akta koperasi baharu dijangka dibentang di Parlimen tahun hadapan
- nabalunews
- Dec 5, 2024
- 1 min read

5 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, akta Koperasi baharu yang akan menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dijangka dibentang di Parlimen pada tahun hadapan.
Beliau berkata, proses penggubalan akta ini sedang giat dilaksanakan melalui libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk lebih 16,000 koperasi sedia ada di Malaysia.
"Sekarang masih di peringkat membuat dasar oleh pegawai, kumpulan sasaran serta beberapa pemegang taruh dan saya telah meminta agar perbincangan ini juga harus melibatkan gerakan koperasi," jelasnya.
"Saya sasarkan untuk bentang draf di peringkat dasar di Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini manakala draf menyeluruh akta baharu itu kita mahu bawa ke Parlimen pada tahun hadapan," tambahnya selepas merasmikan projek Rubber Park @KLCC di pekarangan Kompleks Bangunan Getah Asli di sini semalam, lapor Bernama.
Projek Rubber Park @KLCC mendapat pujian Ewon sebagai inisiatif koperasi yang memberi nilai tambah kepada kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
Ewon berkata lebih membanggakan, projek itu dijayakan oleh gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan setempat di kawasan segi tiga emas.
“Kuala Lumpur ini sentiasa menjadi tumpuan terutamanya pelancong dan sudah pasti selepas ini, ‘Rubber Park @ KLCC’ akan menjadi sebutan warga kota sebagai lokasi berlibur terutamanya pada hujung minggu mahu pun pada hari-hari biasa,” katanya yang berharap projek itu bakal tersenarai sebagai lokasi yang harus dikunjungi dalam masa terdekat.
Rubber Park @KLCC adalah projek yang mempunyai pelbagai unit perniagaan antaranya Klinik Rehabilitasi dan Fisioterapi Sukan (ProPain), kedai serbaneka, premis makanan dan cenderamata di sekitar bangunan KLCC.
Projek itu dibangunkan dengan kerjasama strategik antara Kopget dan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya).















Comments