Aktivis kumpul dana wujudkan pondok informasi kempen derma organ
top of page
  • nabalunews

Aktivis kumpul dana wujudkan pondok informasi kempen derma organ


Pondok yang sedang dibaik pulih oleh Lina untuk dijadikan sebagai pondok informasi kempen derma organ.

20 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seorang aktivis masyarakat Sabah memulakan satu kempen untuk mengumpul dana bagi mewujudkan pondok informasi menderma organ di Hospital Beluran.


Lina Ramsah menerusi badan bukan kerajaan (NGO) Beluran Hope berkata, pengwujudan pondok informasi tersebut penting bagi memberi kesedaran tentang pentingnya untuk menderma organ terhadap masyarakat.


Tambahnya, ramai pesakit kritikal memerlukan pemindahan organ dan dengan adanya penderma, nyawa para pesakit mampu diselamatkan.

Pondok yang akan diubah sebagai pondok informasi kempen derma organ.

“Saya tergerak hati untuk memulakan inisiatif ini apabila mengetahui daerah Beluran mempunyai kadar pengikrar (individu berikrar untuk derma organ) terendah disebabkan stigma serta kekurangan maklumat berkenaan pendermaan organ di kalangan masyarakat.


“Oleh itu, sempena bulan derma organ ini, saya dalam usaha membantu hospital untuk kempen derma organ dan salah satu inisiatif ialah mewujudkan pondok informasi derma organ.


“Saya memerlukan sumbangan untuk membaik pulih pondok di Hospital Beluran dan menjadikanya sebagai pondok informasi derma organ kepada rakyat,” katanya kepada Nabalu News, semalam.

Bumbung asal pondok tersebut perlu diganti kerana sudah bocor.

Menurut Lina, beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk menukar atap dan kayu serta mengecat semula pondok tersebut yang sudah usang.


Jelasnya, beberapa bahan di pondok tersebut sudah lama dan perlu digantikan dengan yang baharu. Bumbung asal pondok tersebut juga mengalami kebocoran dan beberapa kayu lama perlu ditukar.


Selain itu, sumbangan dana tersebut juga bagi memasang dua papan informasi untuk kempen derma organ tersebut.


Jelas Lina lagi, beliau memilih untuk menggunakan pondok tersebut sebagai pondok maklumat memandangkan pondok tersebut merupakan tumpuan riadah pesakit yang berada dalam wad Hospital Beluran.

Setakat ini, jumlah dana terkumpul adalah sebanyak RM1,768, dan sebanyak RM1,232 lagi diperlukan untuk mencapai sasaran jumlah sebenar.


Tambah beliau, sejak kempen bermula pada 1 Ogos, seramai 39 orang telah menghulurkan derma.


“Harapan saya sebagai salah seorang pengikrar ialah semoga lebih ramai lagi yang tampil untuk menjadi pengikrar.


“Kita dapat menyelamatkan nyawa kalau bukan orang lain, mungkin keluarga sendiri,” ujarnya.


Difahamkan, kadar penderma organ dalam Malaysia sangat rendah dan daerah Beluran sendiri terdapat kosong pengikrar buat masa ini.


Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi bank akaun Beluran Hope 1007671000001485 (AGROBANK). Resit derma boleh diemel ke BeluranhopeMY@gmail.com.

bottom of page