Aktiviti bom ikan di perairan Pulau Sepanggar ditumpaskan Maritim Malaysia
26 September 2024
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menumpaskan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan apabila merampas sebuah bot pancing bersama kira-kira 400 kilogram ikan pelbagai spesies dalam satu operasi berhampiran Pulau Sepanggar Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot pancing berwarna biru putih itu dirampas pada jarak kira-kira 0.17 batu nautika Timur Laut Pulau Sepanggar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Che Engku Suhaimi berkata menyedari kehadiran bot ronda maritim, empat orang lelaki yang berada atas bot itu nekad terjun ke dalam laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada
diperiksa Maritim Malaysia.
"Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui pelbagai spesies ikan dengan anggaran berat 400 kilogram yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan atau bom ikan.
"Hasil siasatan awal ke atas sampel ikan yang terdapat di atas bot terbabit mendapati organ dalaman ikan tersebut hancur disyaki impak daripada aktiviti mengebom ikan.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 400 kilogram ikan pelbagai jenis dianggarkan RM50,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Maritim Malaysia mengingatkan kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan bahawa memiliki ikan atau hasil laut yang ditangkap menggunakan bahan letupan merupakan satu kesalahan yang sangat serius kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin terjejas.
Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana- mana undang-undang dan peraturan - peraturan yang telah ditetapkan.
Sebarang kelakuan jenayah laut salurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan di talian 088-387774 atau hubungi talian kecemasan 999.
Comments