Aktiviti Eksport Kayu Eucalyptus Mematuhi Undang-Undang
- nabalunews
- May 1
- 1 min read

1 Mei 2025
TAWAU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) menegaskan aktiviti eksport kayu eucalyptus oleh syarikat itu mematuhi undang-undang serta piawaian antarabangsa.
Pengerusi SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, beliau memandang serius cubaan pihak tertentu yang memanipulasi fakta bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap SSB dan kerajaan Sabah.
“Aktiviti eksport kayu eucalyptus oleh SSB mematuhi sepenuhnya peraturan Malaysia serta mendapat pemantauan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam.

“Operasi SSB turut diiktiraf oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC), sebuah organisasi antarabangsa yang menetapkan piawaian pengurusan hutan secara bertanggungjawab di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Arsad berkata, selain pensijilan FSC, kayu kayan SSB juga diperakui di bawah Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS), iaitu satu sistem usaha wajar (due diligence) yang memastikan hasil kayu berasal daripada ladang yang sah, boleh dijejak, dan memenuhi piawaian alam sekitar serta peraturan eksport.
Katanya, peranan penting SSB dalam industri perkayuan Sabah pernah diiktiraf mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengecualikan syarikat itu daripada larangan eksport balak tropika pada tahun 2018.

“Sebagai anak syarikat Yayasan Sabah yang telah beroperasi selama 52 tahun, SSB kekal komited menerajui industri huluan kayu kayan di negeri ini secara profesional dan beretika demi manfaat rakyat Sabah,”katanya.
Comments