- Wartawan Nabalu News
Aktiviti luar pejabat, mesyuarat antara punca penularan tiga kluster baharu di Sabah

27 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu direkodkan semalam di Beaufort dan Kota Marudu melibatkan pelajar dan tempat kerja.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Binunuk - Beaufort, Kluster Montenior - Beaufort, Kuala Penyu dan Kluster Jalan Teritipan - Kota Marudu.
Beliau berkata, Kluster Jalan Binunuk - Beaufort, Papar adalah kluster jenis tempat kerja iaitu pejabat RISDA Beaufort.
“Kes indeks merupakan wanita tempatan, 34, yang tinggal di Papar dan kakitangan RISDA Beaufort yang disahkan positif melalui ujian RTK Ag pada 22 Januari 2022, selepas bergejala sejak 18 Januari 2022.
“Saringan yang dijalankan terhadap 31 kontak rapat dan ahli keluarga kakitangan berjaya mengesan 13 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes, termasuk tiga kes baharu semalam.
“Penularan jangkitan dipercayai berpunca daripada aktiviti mesyuarat yang dihadiri dalam jumlah yang ramai dalam fasiliti yang sama. Fasiliti tersebut telah ditutup sementara untuk disinfeksi dan semua pesakit dan kontak rapat telah dikuarantin dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Masidi berkata, Kluster Montenior - Beaufort, Kuala Penyu pula adalah kluster jenis berisiko tinggi melibatkan Beaufort dan juga terdapat kes yang tinggal di Kuala Penyu.
Katanya, kluster itu melibatkan sebuah hospital di Beaufort, klinik kerajaan di Beaufort serta Kg Labak.
“Kluster ini mula dikesan apabila kes indeks, petugas kesihatan wanita, 37, disahkan positif melalui ujian RTK Ag pada 12 Januari 2022 setelah bergejala sejak 11 Januari 2022.
“Hasil saringan 83 kontak rapat mendapati jumlah kumulatif sebanyak 43 kes iaitu 24 kes positif daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua daripada kontak generasi ketiga terdiri daripada kakitangan kesihatan Hospital Beaufort dan Klinik di Beaufort, pesakit, pengiring pesakit serta ahli keluarga kakitangan kesihatan.
“Jumlah kumulatif Penularan jangkitan dipercayai berpunca daripada aktiviti luar pejabat sesama kakitangan. Semua kes telah dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai,” katanya.
Masidi berkata, Kluster Jalan Teritipan - Kota Marudu melibatkan para pelajar SMK Tandek 2 Kota Marudu dan dikategorikan sebagai kluster institusi pendidikan.
Katanya, kes indeks adalah pelajar Tingkatan 4 yang mula bergejala pada 20 Januari 2022, kemudian menjalani saringan kendiri pada 22 Januari 2022 dan didapati positif COVID- 19.
“Kes indeks yang menjalani ujian pengesahan dan disaring pada 23 Januari 2022, disahkan positif RT-PCR dengan CT Value 15.99.
“Saringan terhadap 90 kontak rapat di SMK Tandek 2 mendapati 37 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 44 kes termasuk 38 kes baharu dilaporkan pada semalam.
“Semua kes adalah terdiri daripada pelajar dan bergejala ringan (Kategori 1 dan 2) dan telah diasing serta diberikan rawatan yang selanjutnya,” katanya.