- nabalunews
Aktiviti memproses air ketum dan pengedaran vape mengandungi dadah berbahaya ditumpaskan di Sandakan
18 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Polis Sandakan berjaya menumpaskan aktiviti memproses air ketum dan pengedaran cecair vape yang disyaki mengandungi dadah yang didalangi oleh seorang warga tempatan di sebuah taman perumahan di Jalan Utara, di sini.
Kejayaan itu hasil satu operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan kira-kira jam 12.00 tengahari Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Ramasamy Kuppan, berkata.seorang suspek lelaki, 42, berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia turut ditahan dirumahnya bersama barangan kes bernilai RM25,230.
Jelasnya, rampasan dadah itu melibatkan 82 botol plastik lutsinar dengan anggaran isipadu keseluruhan 123 liter dan 6 bungkusan plastik lutsinar saiz besar anggaran isipadu keseluruhan 102.32 liter dengan nilai keseluruhan RM6,760.
Turut dirampas, 6 bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 7.85 kilogram bernilai RM2,000, peralatan memproses dan menyimpan air ketum, 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz yang disyaki mengandungi dadah dengan anggaran nilai RM16,470.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ramasamy berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti memproses air ketum sejak 2 tahun lalu dan pernah beberapa kali ditangkap oleh polis atas kesalahan yang sama selain mempunyai 5 rekod lampau kes dibawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952.
Manakala modus operandi suspek ialah memproses dan menjual sendiri air ketum.
Suspek menyamar sebagai penghantar makanan untuk membekalkan
air ketum dan cecair vape kepada pelanggan tetap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Polis juga dalam tindakan mengesan pembekal yang terlibat membekalkan bahan membuat serbuk ketum dan cecair vape kepada suspek.
Katanya, suspek telah di bawa ke Mahkamah Sandakan bagi permohonan reman dan dikenakan perintah tahanan reman 4 hari bermula 17 Ogos sehingga 20 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952
Jika sabit kesalahan, membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut Ramasamy, kesemua bahan ketum dan cecair vape yang dirampas boleh digunakan sehingga 5,500 orang pada satu-satu masa.
Katanya Polis Diraja Malaysia, PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Sandakan akan terus meningkatkan usaha mengesan seterusnya menumpaskan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini di samping memastikan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah dapat dibanteras habis-habisan.
Comments