• nabalunews

AKTIVITI PENGGAMBARAN TIDAK DIBENARKAN DI KAWASAN PKP - KP FINAS




Gambar hiasan

12 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di mana-mana kawasan di enam negeri yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai tengah malam ini hingga 26 Jan depan.


Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata ini ekoran sektor industri kreatif tidak tersenarai sebagai sektor ekonomi yang dibenarkan dalam tempoh PKP buat masa ini.


"Finas ingin memaklumkan kepada semua syarikat produksi bahawa aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Bagaimanapun, katanya, aktiviti penggambaran boleh diteruskan seperti biasa di kawasan yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Selain itu, PKPB bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dan dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan PKPP bagi tempoh sama.


Katanya, Finas akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui medium hebahan media dan laman sesawang Finas di www.finas.gov.my serta media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter @FINASMalaysia.


"Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh diajukan kepada Unit Komunikasi Korporat Finas di talian 03-7968 2182 atau emel di info@finas.my," katanya. – Bernama